MalaysiaToday
Posted by Super Admin
Thursday, 29 May 2008
Fakta politik sedang menunjukkan bahawa dalam gerombolan United Malays National Organisation Mat Dolah sedang dalam proses hendak disingkirkan. Kita semua tahu Mat Najib sedang menyusun baris mengepung Mat Dolah.
DARI JELEBU
Saya cukup hairan dan marah apabila ada yang menuduh Mat Ezam sebagai seorang pengkhianat. Ini bukan kerana saya hendak bodek Mat Ezam. Saya hanya cuba menerangkan hal duduk perkara. Malah saya cukup hairan kenapa akhbar tabloid Le Fou Total terperanjat gadang apabila Mat Ezam masuk menjadi anggota gerombolan United Malays National Organisation.
Sesiapa yang hairan atau terperanjat mereka adalah ahli-ahli politik poyo. Ngok tak tahu membaca politik macam le chef de fou Zainuddin Maidin.
Saya tahu siapa Mat Ezam ini. Dua tahun saya berkongsi satu sel dengan dia. Ezam bukan Mat Ezam poyo. Dia bukan pengkhianat garis perjuangan. Mat Ezam sampai hari kiamat pun tidak akan mengkhianati garis perjuangan yang menjadi akidah hidupnya.
Cuba ingat betul-betul dan ingatkan apa yang selalu di ceramahkan oleh Mat Ezam. Bukankah Mat Ezam selalu berkata - dia akan melawan penindasan dan berjuang untuk kumpulan yang tertindas. Dia akan tampil ke hadapan untuk membantu kumpulan minoriti yang tertindas. Malah dia pernah berceramah sampai terpancut-pancut suaranya hendak meniru-niru bunyi suara Kamarad Karl Marx dengan kata-kata – contre l’ oppresion de l'homme par l'homme.
Memasuki gerombolan United Malays National Organisation adalah garis politik Mat Ezam yang tepat. Gerombolan United Malays National Organisation sesudah PRU ke 12 adalah gerombolan yang sedang tertindas. Menyokong dan sama-sama sebaris berjuang dengan gerombolan minoriti yang tertindas dan sesak nafas adalah tugas dan garis politik Mat Ezam.
Ini bukan khianat namanya. Ini garis politik yang tepat. Kita semua wajib belajar dari Mat Ezam. Kita patut bangun untuk sama-sama menyokong gulungan minoriti yang tertindas. Berjuang sebaris dengan mereka yang tertindas adalah sebahagian dari iman. Yang sebahagian lagi iman kita ialah berdoa untuk dapat projek. Ini bukan cakap saya ini. Saya pungut hadis sahih ini dari Ibnu Iwana al- Kontoli dari kitab Al-Fikarabun yang sama-sama saya baca dengan Mat Ezam semasa di Kamunting.
Menyokong sesiapa yang hendak rebah adalah garis yang tepat yang telah diambil oleh Mat Ezam. Apakah masih ada warga yang tidak menyedari dan tidak percaya bahawa gerombolan United Malays National Organisation sedang tertindas? Ada sesiapa yang masih jurang jelas? Kalau masih ada yang tidak faham, maka mengikut kitab Al-Fikarabun, kumpulan yang tidak faham ini tergulung kepada pengikut mazhab sesat lagi menyesatkan.
Bayangkan - tidak lama lagi gerombolan United Malays National Organisation akan tegak berseorangan. MCA, MIC dan Gerakan sedang merancang hendak memasuki Pakatan Rakyat. Mereka semua ini telah sanggup murtad untuk mengikut Tuan Syeikh baru mereka. Rakyat Sabah dan Serawak sedang berduyun-duyun lari membuat IC baru dan bercadang untuk meninggalkan Malaysia.
Syabas Mat Ezam – saudara jujur dengan garis perjuangan membantu yang lemah dan melawan yang gagah. Saudara cukup sedar bahawa Mat Dolah sekarang adalah pemimpin yang paling lemah dalam sejarah politik tanah air. Saudaralah pembantu setianya. Tupang pembawa rebahnya.
Fakta politik sedang menunjukkan bahawa dalam gerombolan United Malays National Organisation Mat Dolah sedang dalam proses hendak disingkirkan. Kita semua tahu Mat Najib sedang menyusun baris mengepung Mat Dolah. Dalam masa yang sama Muhyiddin juga sedang berura-ura untuk menibai Mat Dolah dari belakang. Ini semua adalah bentuk-bentuk penindasan yang sedang dihadapi oleh Mat Dolah. Inilah tugas suci Mat Ezam dengan rela hati datang membantu Mat Dolah yang sedang ditindas.
Di luar gerombolan ini ada pula Mahafiraun yang tidak henti-henti menyalak dan menggigit punggung Mat Dolah. Maka di sini satu lagi peranan agung Mat Ezam. Membantu yang lemah dan menolong yang tersepit dan yang sedang di salak Mahafiraun
Tentang Mahafiraun ini Mat Ezam cukup cemuh. Mat Ezam pernah menerangkan kepada saya – jika jumpa Mahafiraun dan jumpa Mat Dolah ketuk kepala Mukhriz dulu. Inilah kata-kata hikmat dari Mat Ezam yang sampai kiamat akan saya ingati.
Saya cukup marah apabila menerima sms yang cuba menghina Mat Ezam. Sms ini cuba menuduh Mat Ezam ini sama seperti Raja Katak. Ini tidak betul. Mat Ezam tidak melompat. Mat Ezam melutut. Ini juah bezanya. Melompat ke atas seperti katak. Melutut ke bawah seperti Mat Ezam. Jadi tolong jangan samakan Mat Ezam dengan Ibrahim Ali. Mat Ezam ada kelas.
Baca Lebih Lanjuttt......
RANCANGAN JAHAT ZELENSKY
2 years ago
No comments:
Post a Comment